Latar Belakang Tokoh


Ungku Maimunah Mohd. Tahir dilahirkan di Johor Bahru, Johor. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kampung Baru, Sultan Ibrahim Girls’ School dan English College (kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya untuk Ijazah Sarjana Muda, University of Leeds, United Kingdom untuk Ijazah Sarjana dan The Australian National University (ANU), Canberra pada 1985 untuk Ijazah Doktor Falsafah.

Kerjaya Ungku Maimunah bermula pada 1976 sebagai pensyarah di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia. Kemudian, beliau dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya pada 1987 dan sebagai Profesor dalam bidang Sastera pada tahun 2000. Dalam bidang pentadbiran pula, Ungku Maimunah memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan dari 1997 hingga 1999.

Ungku Maimunah pernah menjadi Pensyarah Tamu di Universitas Gadjah Mada, Indonesia, Pensyarah Undangan di Institut Nordic, Denmark dan beberapa kali menjadi Felo Penyelidik diInstitute of Southeast Asian Studies (ISEAS), Singapura. Beliau adalah sarjana Malaysia yang pertama diundang sebagai pensyarah di South East Asian Studies Summer Institute (SEASSI), University of Oregon, Eugene, Amerika Syarikat pada 1988. Beliau juga adalah wanita pertama yang menyertai jawatankuasa GAPENA, dan jawatankuasa Anugerah Sastera Negara. Pada tahun 2005, beliau telah dilantik sebagai Penyandang Kerusi Pengajian Melayu di Victoria University of Wellington, New Zealand.


Kini beliau bertugas sebagai Felo Penyelidik Utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA). Beliau adalah pengasas projek DAMAI (Dunia Melayu dan Islam) yang berpangkalan di ATMA dan dilantik sebagai pengerusi. Pengkhususan beliau ialah Kritikan Sastera, Teori Sastera, Sastera Bandingan, Kajian Gender dan Bikinan Ilmu serta Proses Bikinan Ilmu. Kini, antara projek yang beliau laksanakan ialah memantapkan anjakan baru dalam kritikan sastera Melayu berdasarkan gagasan Persuratan Baru.

Karya dan Sumbangan

Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (2009)
Untuk kesekian lamanya takrif "kemodenan" sastera kita disandarkan kepada realisme, iaitu hasil kerangka, skema nilai dan pengkategorian Barat. Bersama-sama bentuk novel, gandingan realisme-cereka ini seterusnya mendominasi landskap dunia sastera Melayu Malaysia. Wajarkah warisan asing ini, yang mengutamakan cerita dan penghebatan cerita, terus membentuk dan mewarnai karya kreatif dan tulisan kritikan kita? Atau, beranikah kita membebaskan diri daripada warisan tersebut, dengan mempertikaikannya, menginterogasinya, dan seterusnya mengungkapkan pemikiran atas terma kita sendiri, yang mengutamakan ilmu yang benar? Buku ini mengupas persoalan penting ini untuk menawarkan jawapannya.

Gagasan Persuratan Baru : Pengenalan dan Penerapan (2008)
Buku ini mengemukakan gagasan Persuratan Baru sebagai satu alternatif berbeza dalam kritikan sastera dan penulisan karya kerana kedua-duanya berpaksikan konsep ilmu yang benar, dengan menjadikan konsep taklif sebagai tunjang kritikan dan penulisan kreatif. Bahagian I berupa penerapan Persuratan Baru dalam menganalisis dan menilai beberapa buah novel terpilih, dengan memberi tumpuan kepada konsep ruang naratif dan penggunaannya serta penerapan wacana dalam karya kreatif. Keupayaan menerapkan wacana dalam pembinaan karya, diiringi penggunaan unsur cerita yang terkawal, akan menentukan kualiti karya sebagai sebuah hasil seni yang indah dan bermakna.

Kritikan Sastera Melayu : Antara Cerita dengan Ilmu (2007)

Dua tradisi besar yang memainkan peranan penting dalam aktiviti penulisan di rantau ini ialah Islam dan Barat. Sementara tradisi persuratan Melayu-Islam dengan jelas menjadikan ‘ilmu’ sebagai tunggak pekerjaan kalam, unsur ‘ilmu’ atau didaktisme’ tidak pula diperuntukkan kedudukan yang sama dalam tradisi Barat, dan konsep ‘ilmu’ itu sendiri diberi tafsiran yang tertentu menurut cita rasa semusim. Dengan menekankan ilmu berbanding cerita sebagai asas pekerjaan kalam, Persuratan Baru mendefinisikan semula peranan tulisan kreatif dan kritikan supaya berhadapan dengan masyarakat pembaca, tidak lagi sebagai khayalan semata, tetapi sebagai sumber ilmu yang sah dan berwibawa serta dapat dimanfaat secara yakin. Sesuai dengan hasrat untuk membina masyarakat yang berilmu dan bertamadun, perbincangan dalam buku ini dapat menggalakkan renungan semula yang serius dan kritis terhadap karya kreatif dan kritikan sastera dewasa ini, dan ilmu sebagai tunggak pekerjaan kalam dimahkotakan semula dalam dunia penulisan Melayu.

Readings in Modern Malay Literature (2003)

Dalam membahas masalah penulisan dalam Bahasa Inggeris untuk Kesusasteraan Melayu moden, buku ini memberikan pemahaman umum terhadap Kesusasteraan Melayu moden secara keseluruhan dan menawarkan secara mendalam diskusi terhadap isu-isu penting dalam perkembangannya. Artikel-artikel disusun untuk mencerminkan aliran kronologi untuk memudahkan pemahaman subjek. Artikel pertama menawarkan soal selidik Kesusasteraan Melayu Moden, dengan penekanan khusus kepada pertumbuhan dan perkembangannya. Ini termasuk karya-karya dan penulis yang mengangkat sastera, serta pelbagai institusi yang berkaitan dengan konvensyen sastera. Rencana berikut, memberi tumpuan kepada isu-isu dan topik yang berkaitan dengan tanggapan sastera terhadap cabaran zaman. Secara keseluruhan buku ini menyajikan bahan yang kaya dengan tradisi Kesusasteraan Melayu Moden secara umum.

Anugerah dan Pengiktirafan

1. Hadiah Sastera Perdana Malaysia. 2004-2005, Kategori Esei/Kritikan/Kajian Sastera. (Dihadiahkan pada tahun 2008. Pengumumannya dalam Berita Minggu, Ahad, 27 Julai 2008). Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Hadiah Karya Kencana. 2003, Kategori Sastera. Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.

3. Hadiah Karya Kencana. 2000, Kategori Sastera. Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.

4. Hadiah Sastera Darul Takzim. 1999, Kategori Esei dan Tulisan Kritikan. Anjuran Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim.

5. Hadiah Sastera Darul Takzim. 1996, Kategori Esei dan Tulisan Kritikan. Anjuran Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim.

6. Hadiah Perkhidmatan Terpuji. 1994, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan Mastera

Dinamika Pemikiran Sastera Melayu merupakan Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan MASTERA yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2009. Siri kuliah dalam buku ini telah dibentangkan oleh Profesor Ungku Maimunah Mohd. Tahir pada 13 Ogos 2008 di Bandar Seri Begawan, Brunei; 15 Ogos 2008 di Singapura; 19 Ogos 2008 di Mataram, Lombok, Indonesia dan 28 Ogos 2008 di Kuching, Sarawak, Malaysia sempena acara tahunan MASTERA yang diperkenalkan sejak tahun 1997. Buku ini mempunyai empat siri kuliah yang mengupas dinamika jalur-jalur pemikiran yang menjadi asas kepada kegiatan sastera dan kritikan sastera Melayu di Malaysia.

Dalam kuliah pertama iaitu ‘Kesusasteraan Melayu : Termaktubnya Satu “Sejarah” dan “Ilmu”, teksnya mengupas sejarah kesusasteraan Melayu khususnya dalam konteks sastera moden. Kupasan ini untuk memberi gambaran tentang proses berlakunya kemodenan terhadap kesusasteraan Melayu di Malaysia. Teks dalam kuliah pertama ini turut meneliti pemikiran yang menjadi dasar kepada takrifan kemodenan dengan melihat ciri-ciri yang memainkan peranan dalam memodenkan sastera serta kewajaran pemilihan ciri-ciri tersebut. Di sini, aspek realisme ditekankan sebagai satu pemikiran yang mempunyai perkaitan yang kuat dengan sejarah kesusasteraan Melayu. Penulis menghuraikan perihal realisme iaitu melihat sejarah kehadiran aliran ini yang bermula di Perancis pada kurun ke-19. Penulis mendapati faktor-faktor yang menjadi punca kelahiran realisme ialah faktor penjajahan yang menyebabkan pembahagian kelas-kelas masyarakat selain dari faktor perkembangan sains yang melahirkan teknologi rakaman fotografi sebagai perakam peristiwa. Di sini kemaraan sains telah mewujudkan satu pemikiran iaitu penekanan kepada objektiviti dan kepastian. Di akhir kuliah pertama, penulis merumuskan bahawa aliran realisme ini mampu menawarkan satu kerangka untuk menakrif istilah kemodenan dalam sastera Melayu di Malaysia.

Dalam kuliah kedua iaitu ‘Kesusasteraan Melayu : Gandingan Mantap Realisme dan Cereka’, perincian teks terhadap aliran realisme dinyatakan dengan lebih mendalam dan rinci tetapi diaplikasikan dalam bentuk karya sastera iaitu novel. Teks kuliah menceritakan sejarah kewujudan novel yang bermula daripada cerpen sejajar dengan kewujudan aliran realisme sebagai fahaman yang diterima ramai. Penulis meneliti sejauh mana keupayaan pemikiran, struktur dan ciri-ciri yang membentuk novel, dimanfaatkan dan disesuaikan untuk kegunaan sastera Melayu di Malaysia. Selain itu, penulis turut melihat kesan-kesan perubahan yang boleh mencetuskan jalur pemikiran dalam kesusasteraan Melayu termasuk bidang kritikan. Berdasarkan kajian A. Wahab Ali, Hashim Awang dan Othman Puteh, penulis merumuskan bahawa gabungan aliran realisme dan novel banyak mempengaruhi perkembangan dalam dunia sastera Melayu di Malaysia. Justeru untuk menjelaskan hujah ini, penulis mengkaji data Laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang mana, skopnya menumpu kepada enam buah laporan iaitu yang berkaitan dengan novel atau cereka yang berbentuk prosa.

Berdasarkan kajian tersebut, penulis mendapati tumpuan panel penilai dalam menentukan Anugerah Sastera Negara (ASN) adalah kepada aspek tema atau pemikiran dan struktur sekali gus mengaitkan penilaian novel-novel dalam ASN tersebut dengan ciri-ciri utama pemikiran realisme. Namun, penulis mendakwa, penilaian novel-novel untuk ASN ini, tidak menitikberatkan persoalan ilmu sebagai satu perkara yang relevan untuk dinilai. Tuntasnya, dalam kuliah kedua penulis merumuskan bahawa gandingan realisme dan novel kelihatan intim namun ilmu yang dimuatkan dalam karya hanya sebagai kenyataan-kenyataan umum. Kepentingan ilmu merupakan pemikiran yang bersandarkan daripada Barat dan pemikiran ini merupakan satu jalur dinamika yang menggesa kehadiran satu pemikiran lain iaitu gagasan Persuratan Baru (PB) cetusan Mohd. Affandi Hassan yang berkait rapat dengan ilmu.

:: Mohd. Affandi Hassan ::

Justeru, kuliah ketiga ‘Persuratan Melayu : Satu Anjakan?’ membicarakan kehadiran gagasan PB yang membezakan ilmu dan cerita. Menurut Penulis, PB telah mengkategorikan karya yang berteraskan ilmu sebagai “persuratan” manakala karya yang mementingkan aspek cerita, dikategorikan sebagai “sastera”. Seterusnya, PB lebih mengutamakan tradisi Melayu-Islam iaitu karya yang berteraskan Tauhid berbanding karya yang mengarah kepada Barat yang dianggap mempengaruhi kesusasteraan Melayu masa kini. Penulis berpendapat bahawa PB adalah usaha pencetusnya untuk memperbetulkan pemahaman penulis kreatif dan pengkritik terhadap kekeliruan dan kecelaruan tentang peranan dan sumbangan Islam dalam karya sastera. Hal ini termasuk tradisi penulisan yang banyak dipengaruhi oleh animisme dan hinduisme sebelum kedatangan Islam. Namun, revolusi dalam tulisan berlaku setelah kedatangan Islam iaitu penghapusan ciri dan sifat utama tulisan dan penekanan daripada bukan ilmu kepada ilmu kerana Islam menolak khurafat dan tahyul. Penolakan ini memberi peranan kepada akal untuk menyerlahkan rasionalisme dan intelektualisme dalam karya sastera. Seterusnya, ilmu yang terhasil ini mencirikan tulisan yang berteraskan Tauhid.


Dalam kuliah ini, penulis mendapati pertembungan Barat menyebabkan penekanan terhadap ilmu yang berteraskan Tauhid diubah suai sehingga terhasil tulisan yang beraliran sekularisme. Faktor ini menjadi pemangkin kemunculan gagasan PB. Rumusan untuk kuliah ini, penulis mendapati PB meletakkan perbezaan dengan bikinan Barat iaitu gandingan realisme dan novel sebelum membezakan ilmu dan cerita dalam konteks sastera Melayu di Malaysia. Menurut penulis, Mohd. Affandi Hassan memerikan “espen” iaitu kependekan gabungan perkataan “esei” dan “cerpen” sebagai genre baru dalam PB. Penelitian penulis juga menemui keraguan terhadap kenyataan Mohd. Affandi Hassan yang menerima bentuk Barat tidak luwes seperti bentuk tradisi Melayu-Islam. Malah, penulis mendapati karya-karya kreatif Mohd. Affandi Hassan tidak memanfaatkan bentuk Melayu-Islam sebaliknya menggunakan gandingan realisme dan novel yang sejelasnya bersendeng ke arah Barat.

Pembicaraan kuliah empat; ‘Persuratan Melayu : Satu Advokasi Alternatif “sejarah” dan “ilmu”?’ bertujuan untuk meneroka idea yang diketengahkan oleh PB. Penulis mendapati keraguan timbul setelah karya kreatif nukilan Mohd. Affandi Hassan iaitu Pujangga Melayu (1997) yang membawa gandingan realisme dan novel, tidak sealiran dengan gagasan PB yang dicetuskan olehnya. Seterusnya, hal ini menimbulkan persoalan bahawa Mohd. Affandi Hassan terdesak untuk memperkenalkan gagasan PB berhubung situasi gawat yang melanda kesusasteraan Melayu di Malaysia dewasa ini.

Dalam merungkai keraguan yang terhasil, penulis membuat tinjauan secara ringkas terhadap karya Elizabeth Costello (2003) hasil nukilan John M Coetzee yang diterbitkan 6 tahun selepas Pujangga Melayu. Kemudian, penulis meneliti novel Manifesto Khalifatullah (2005) karya Achdiat K. Mihardja sebelum menyimpulkan bahawa kedua-dua karya ini mewajarkan konsep “kuliah” iaitu melihat dinamika pemikiran disebatikan dengan karya kreatif. Perbincangan ini juga memperlihatkan tiga perkara utama iaitu pertama, menyerlahkan pemahaman yang melihat novel sebagai wadah sah untuk idea atau wacana. Kedua, menolak pemahaman novel sebagai bentuk karya untuk menampung cerita semata-mata dan ketiga, memperlihatkan pemahaman “idea” atau “wacana” sebagai penghujahan atau perdebatan sesebuah fikiran yang diaju, diperjelas dan dibukti melalui pelbagai perspektif (Ungku Maimunah. 2009 : 102).


Selain itu, penulis menguliti novel Salam Maria (2004) karya Fatimah Busu dan mendapati novel ini tidak menawarkan sebarang ilmu selain memuatkan maklumat secara mentah. Hal ini memberi wawasan bahawa PB tegas dalam membezakan ilmu dan cerita. Untuk menguatkan hujah, penulis menjurus pula kepada novel Pujangga Melayu dengan tujuan untuk meneliti ilmu yang menjadi perkara utama dalam gagasan PB sama ada turut dimanfaatkan oleh Mohd. Affandi Hassan dalam karya kreatifnya. Rumusan kuliah keempat, penulis memperakui kehadiran PB sebagai jalur pemikiran yang melihat cerita sebagai wadah ilmu. Selain menjadi dasar kepada penghasilan karya kreatif bagi penulis di Malaysia, pemikiran yang berpaksikan ilmu ini turut diguna pakai sehingga merentasi batas antarabangsa. Penulis menerima PB sebagai satu gagasan yang melihat secara serius berkenaan persoalan kepengarangan selain memperakui bahawa ilmu dan tradisi yang membentuk generasi sekarang akan diwariskan kepada generasi mendatang.

Kesimpulan daripada siri kuliah ini menunjukkan bahawa pemikiran yang tercetus daripada gandingan realisme dan novel mempunyai keunggulan yang tersendiri. Hal ini berdasarkan kajian penulis terhadap Laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang mana gandingan realisme dan novel, telah melahirkan gagasan baru dalam dunia kritikan sastera Melayu di Malaysia. Gagasan ini disebut sebagai Persuratan Baru cetusan Mohd. Affandi Hassan yang menyanjung sebuah karya sastera itu berdasarkan ilmu berbanding cerita yang disampaikan oleh pengarang. Tulisan itu juga, haruslah berlandaskan tradisi Melayu-Islam iaitu menerapkan ilmu yang benar. Oleh itu, berdasarkan tanggapan terhadap empat kuliah di atas, diharapkan dapat memberi maklumat tentang kepentingan ilmu yang menjadi tonggak keunggulan sesebuah karya sastera. Menurut Ungku Maimunah, ‘ilmu dalam pengkaryaan, amat diperlukan kerana ilmu sahaja yang mampu mencipta sejarah yang gemilang untuk dikongsi bersama generasi akan datang’.


Disediakan oleh :
Intansuhana Binti Ramli
:: Prof. Ungku Maimunah (kiri) dan penulis blog ::

Bibliografi

Awang Azman Awang Pawi. 2009. Antara Cerita, Kuasa dengan Ilmu. Dlm. Dewan Sastera. Oktober. Hlm. 43-48. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Affandi Hassan. 2008. Gagasan Persuratan Baru : Pengenalan dan Penerapan. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

Othman Puteh. 2008. Perkembangan Cerpen Melayu Moden 1940-1969. Dlm. Siti Aisah Murad. (peny.). Penelitian Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden 1940-1969. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ramli Isin. 2008. Perkembangan Novel Melayu 1940-1969 : Satu Analisis. Dlm. Siti Aisah Murad. (peny.). Penelitian Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden 1940-1969. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ungku Maimunah Mohd. Tahir. 2009. Dinamika Pemikiran Sastera Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ungku Maimunah Mohd. Tahir. 2008. Salam Maria dari Perspektif Persuratan Baru. Dlm. Mohd. Affandi Hassan. Gagasan Persuratan Baru : Pengenalan dan Penerapan. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ungku Maimunah Mohd. Tahir. 2007. Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita dengan Ilmu. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ungku Maimunah Mohd. Tahir. 2003. Readings in Modern Malay Literature. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ungku Maimunah Mohd. Tahir. 1997. R.J. Wilkinson dan Pensejarahan Kesusasteraan Melayu Moden. Dlm. Shafie Abu Bakar & Mohamed Anwar Omar Din. (peny.). Peradaban Melayu. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.