Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan Mastera

Dinamika Pemikiran Sastera Melayu merupakan Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan MASTERA yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2009. Siri kuliah dalam buku ini telah dibentangkan oleh Profesor Ungku Maimunah Mohd. Tahir pada 13 Ogos 2008 di Bandar Seri Begawan, Brunei; 15 Ogos 2008 di Singapura; 19 Ogos 2008 di Mataram, Lombok, Indonesia dan 28 Ogos 2008 di Kuching, Sarawak, Malaysia sempena acara tahunan MASTERA yang diperkenalkan sejak tahun 1997. Buku ini mempunyai empat siri kuliah yang mengupas dinamika jalur-jalur pemikiran yang menjadi asas kepada kegiatan sastera dan kritikan sastera Melayu di Malaysia.

Dalam kuliah pertama iaitu ‘Kesusasteraan Melayu : Termaktubnya Satu “Sejarah” dan “Ilmu”, teksnya mengupas sejarah kesusasteraan Melayu khususnya dalam konteks sastera moden. Kupasan ini untuk memberi gambaran tentang proses berlakunya kemodenan terhadap kesusasteraan Melayu di Malaysia. Teks dalam kuliah pertama ini turut meneliti pemikiran yang menjadi dasar kepada takrifan kemodenan dengan melihat ciri-ciri yang memainkan peranan dalam memodenkan sastera serta kewajaran pemilihan ciri-ciri tersebut. Di sini, aspek realisme ditekankan sebagai satu pemikiran yang mempunyai perkaitan yang kuat dengan sejarah kesusasteraan Melayu. Penulis menghuraikan perihal realisme iaitu melihat sejarah kehadiran aliran ini yang bermula di Perancis pada kurun ke-19. Penulis mendapati faktor-faktor yang menjadi punca kelahiran realisme ialah faktor penjajahan yang menyebabkan pembahagian kelas-kelas masyarakat selain dari faktor perkembangan sains yang melahirkan teknologi rakaman fotografi sebagai perakam peristiwa. Di sini kemaraan sains telah mewujudkan satu pemikiran iaitu penekanan kepada objektiviti dan kepastian. Di akhir kuliah pertama, penulis merumuskan bahawa aliran realisme ini mampu menawarkan satu kerangka untuk menakrif istilah kemodenan dalam sastera Melayu di Malaysia.

Dalam kuliah kedua iaitu ‘Kesusasteraan Melayu : Gandingan Mantap Realisme dan Cereka’, perincian teks terhadap aliran realisme dinyatakan dengan lebih mendalam dan rinci tetapi diaplikasikan dalam bentuk karya sastera iaitu novel. Teks kuliah menceritakan sejarah kewujudan novel yang bermula daripada cerpen sejajar dengan kewujudan aliran realisme sebagai fahaman yang diterima ramai. Penulis meneliti sejauh mana keupayaan pemikiran, struktur dan ciri-ciri yang membentuk novel, dimanfaatkan dan disesuaikan untuk kegunaan sastera Melayu di Malaysia. Selain itu, penulis turut melihat kesan-kesan perubahan yang boleh mencetuskan jalur pemikiran dalam kesusasteraan Melayu termasuk bidang kritikan. Berdasarkan kajian A. Wahab Ali, Hashim Awang dan Othman Puteh, penulis merumuskan bahawa gabungan aliran realisme dan novel banyak mempengaruhi perkembangan dalam dunia sastera Melayu di Malaysia. Justeru untuk menjelaskan hujah ini, penulis mengkaji data Laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang mana, skopnya menumpu kepada enam buah laporan iaitu yang berkaitan dengan novel atau cereka yang berbentuk prosa.

Berdasarkan kajian tersebut, penulis mendapati tumpuan panel penilai dalam menentukan Anugerah Sastera Negara (ASN) adalah kepada aspek tema atau pemikiran dan struktur sekali gus mengaitkan penilaian novel-novel dalam ASN tersebut dengan ciri-ciri utama pemikiran realisme. Namun, penulis mendakwa, penilaian novel-novel untuk ASN ini, tidak menitikberatkan persoalan ilmu sebagai satu perkara yang relevan untuk dinilai. Tuntasnya, dalam kuliah kedua penulis merumuskan bahawa gandingan realisme dan novel kelihatan intim namun ilmu yang dimuatkan dalam karya hanya sebagai kenyataan-kenyataan umum. Kepentingan ilmu merupakan pemikiran yang bersandarkan daripada Barat dan pemikiran ini merupakan satu jalur dinamika yang menggesa kehadiran satu pemikiran lain iaitu gagasan Persuratan Baru (PB) cetusan Mohd. Affandi Hassan yang berkait rapat dengan ilmu.

:: Mohd. Affandi Hassan ::

Justeru, kuliah ketiga ‘Persuratan Melayu : Satu Anjakan?’ membicarakan kehadiran gagasan PB yang membezakan ilmu dan cerita. Menurut Penulis, PB telah mengkategorikan karya yang berteraskan ilmu sebagai “persuratan” manakala karya yang mementingkan aspek cerita, dikategorikan sebagai “sastera”. Seterusnya, PB lebih mengutamakan tradisi Melayu-Islam iaitu karya yang berteraskan Tauhid berbanding karya yang mengarah kepada Barat yang dianggap mempengaruhi kesusasteraan Melayu masa kini. Penulis berpendapat bahawa PB adalah usaha pencetusnya untuk memperbetulkan pemahaman penulis kreatif dan pengkritik terhadap kekeliruan dan kecelaruan tentang peranan dan sumbangan Islam dalam karya sastera. Hal ini termasuk tradisi penulisan yang banyak dipengaruhi oleh animisme dan hinduisme sebelum kedatangan Islam. Namun, revolusi dalam tulisan berlaku setelah kedatangan Islam iaitu penghapusan ciri dan sifat utama tulisan dan penekanan daripada bukan ilmu kepada ilmu kerana Islam menolak khurafat dan tahyul. Penolakan ini memberi peranan kepada akal untuk menyerlahkan rasionalisme dan intelektualisme dalam karya sastera. Seterusnya, ilmu yang terhasil ini mencirikan tulisan yang berteraskan Tauhid.


Dalam kuliah ini, penulis mendapati pertembungan Barat menyebabkan penekanan terhadap ilmu yang berteraskan Tauhid diubah suai sehingga terhasil tulisan yang beraliran sekularisme. Faktor ini menjadi pemangkin kemunculan gagasan PB. Rumusan untuk kuliah ini, penulis mendapati PB meletakkan perbezaan dengan bikinan Barat iaitu gandingan realisme dan novel sebelum membezakan ilmu dan cerita dalam konteks sastera Melayu di Malaysia. Menurut penulis, Mohd. Affandi Hassan memerikan “espen” iaitu kependekan gabungan perkataan “esei” dan “cerpen” sebagai genre baru dalam PB. Penelitian penulis juga menemui keraguan terhadap kenyataan Mohd. Affandi Hassan yang menerima bentuk Barat tidak luwes seperti bentuk tradisi Melayu-Islam. Malah, penulis mendapati karya-karya kreatif Mohd. Affandi Hassan tidak memanfaatkan bentuk Melayu-Islam sebaliknya menggunakan gandingan realisme dan novel yang sejelasnya bersendeng ke arah Barat.

Pembicaraan kuliah empat; ‘Persuratan Melayu : Satu Advokasi Alternatif “sejarah” dan “ilmu”?’ bertujuan untuk meneroka idea yang diketengahkan oleh PB. Penulis mendapati keraguan timbul setelah karya kreatif nukilan Mohd. Affandi Hassan iaitu Pujangga Melayu (1997) yang membawa gandingan realisme dan novel, tidak sealiran dengan gagasan PB yang dicetuskan olehnya. Seterusnya, hal ini menimbulkan persoalan bahawa Mohd. Affandi Hassan terdesak untuk memperkenalkan gagasan PB berhubung situasi gawat yang melanda kesusasteraan Melayu di Malaysia dewasa ini.

Dalam merungkai keraguan yang terhasil, penulis membuat tinjauan secara ringkas terhadap karya Elizabeth Costello (2003) hasil nukilan John M Coetzee yang diterbitkan 6 tahun selepas Pujangga Melayu. Kemudian, penulis meneliti novel Manifesto Khalifatullah (2005) karya Achdiat K. Mihardja sebelum menyimpulkan bahawa kedua-dua karya ini mewajarkan konsep “kuliah” iaitu melihat dinamika pemikiran disebatikan dengan karya kreatif. Perbincangan ini juga memperlihatkan tiga perkara utama iaitu pertama, menyerlahkan pemahaman yang melihat novel sebagai wadah sah untuk idea atau wacana. Kedua, menolak pemahaman novel sebagai bentuk karya untuk menampung cerita semata-mata dan ketiga, memperlihatkan pemahaman “idea” atau “wacana” sebagai penghujahan atau perdebatan sesebuah fikiran yang diaju, diperjelas dan dibukti melalui pelbagai perspektif (Ungku Maimunah. 2009 : 102).


Selain itu, penulis menguliti novel Salam Maria (2004) karya Fatimah Busu dan mendapati novel ini tidak menawarkan sebarang ilmu selain memuatkan maklumat secara mentah. Hal ini memberi wawasan bahawa PB tegas dalam membezakan ilmu dan cerita. Untuk menguatkan hujah, penulis menjurus pula kepada novel Pujangga Melayu dengan tujuan untuk meneliti ilmu yang menjadi perkara utama dalam gagasan PB sama ada turut dimanfaatkan oleh Mohd. Affandi Hassan dalam karya kreatifnya. Rumusan kuliah keempat, penulis memperakui kehadiran PB sebagai jalur pemikiran yang melihat cerita sebagai wadah ilmu. Selain menjadi dasar kepada penghasilan karya kreatif bagi penulis di Malaysia, pemikiran yang berpaksikan ilmu ini turut diguna pakai sehingga merentasi batas antarabangsa. Penulis menerima PB sebagai satu gagasan yang melihat secara serius berkenaan persoalan kepengarangan selain memperakui bahawa ilmu dan tradisi yang membentuk generasi sekarang akan diwariskan kepada generasi mendatang.

Kesimpulan daripada siri kuliah ini menunjukkan bahawa pemikiran yang tercetus daripada gandingan realisme dan novel mempunyai keunggulan yang tersendiri. Hal ini berdasarkan kajian penulis terhadap Laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang mana gandingan realisme dan novel, telah melahirkan gagasan baru dalam dunia kritikan sastera Melayu di Malaysia. Gagasan ini disebut sebagai Persuratan Baru cetusan Mohd. Affandi Hassan yang menyanjung sebuah karya sastera itu berdasarkan ilmu berbanding cerita yang disampaikan oleh pengarang. Tulisan itu juga, haruslah berlandaskan tradisi Melayu-Islam iaitu menerapkan ilmu yang benar. Oleh itu, berdasarkan tanggapan terhadap empat kuliah di atas, diharapkan dapat memberi maklumat tentang kepentingan ilmu yang menjadi tonggak keunggulan sesebuah karya sastera. Menurut Ungku Maimunah, ‘ilmu dalam pengkaryaan, amat diperlukan kerana ilmu sahaja yang mampu mencipta sejarah yang gemilang untuk dikongsi bersama generasi akan datang’.


Disediakan oleh :
Intansuhana Binti Ramli
:: Prof. Ungku Maimunah (kiri) dan penulis blog ::